Sunday 27 February 2011

BIODATA USTAZ KHAIRUL NIZAR BIN ZAKARIA

TAJUK:
Tokoh Agama Islam Di Tempat Anda


DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU551


DISEDIAKAN OLEH:
Mohd Fahmi Bin Rasidan
No Matrik : 2010662564
Kumpulan: BMB2Ac


PROGRAM:
Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia
(BM223)

TARIKH HANTAR:
1 Mac 2011









ASSALAMUALAIKUM

     Kita semua telah sedia maklum bahawa masjid memainkan peranan yang sangat penting kepada semua umat islam diseluruh dunia. Masjid merupakan tempat di mana semua umat islam menunaikan solat yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. serta melakukan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan keagamaan. Boleh dikatakan disetiap kampung,taman dan juga bandar akan terbinanya masjid. Hal ini adalah kerana Allah S.W.T. menyeru supaya setiap umat islam didunia ini pergi ke masjid menunaikan solat secara berjemaah. Solat secara berjemaah amat dituntut kerana solat secara berjemaah memberi banyak pahala berbanding solat secara berseorangan. Selain itu,solat secara berjemaah juga dikatakan dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat islam dan juga membentuk ukhwah penduduk di sesebuah kawasan. Jadi masjid adalah tempat yang sesuai untuk melakukan solat secara berjemaah.

    

   Di Kampung Padang Lumat,Yan,Kedah Darul Aman iaitu di mana tempat saya tinggal terdapat sebuah masjid yang telah lama di bina bagi kegunaan penduduk Kampung Padang Lumat. Masjid ini diberi nama MASJID AL-UBUDIAH.Masjid ini dibina pada tahun 1953. Tanah di mana terbinanya masjid ini merupakan tanah wakaf milik seorang penduduk Kampung Padang Lumat yang berbesar hati untuk membina sebuah masjid diatas tanah wakaf miliknya. Kos yang digunakan untuk membina masjid ini adalah sumbangan daripada kerajaan negeri dan juga sumbangan daripada beberapa orang yang berbesar hati untuk menyumbangkan duit untuk membina masjid ini. Di masjid ini terdapat 5 orang pegawai-pegawai dan 7 orang ahli jawatankuasa masjid yang menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan Masjid Al-Ubudiah ini. Di masjid Al-Ubudiah dijalankan pelbagai aktiviti keagamaan dan juga majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib,ceramah-ceramah agama,qiyamullail dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti. Pada setiap hari rabu,pihak masjid akan menjemput seorang penceramah daripada luar untuk memberi ceramah tentang hal-hal keagamaan selepas solat fardhu maghrib dan pada setiap cuti persekolahan yang panjang,pihak masjid dengan kerjasama daripada pihak sekolah akan mengadakan program qiyamullail di Masjid Al-Ubudiah kepada pelajar-pelajar tahun 4 dan tahun 5 Sekolah Kebangsaan Padang Lumat. Selain itu,pada setiap hari jumaat pihak masjid dan juga kerjasama daripada Persatuan Belia Kampung Padang Lumat akan mengadakan majlis gotong-royong membersihkan persekitaran masjid dan juga kawasan tanah perkuburan Kampung Padang Lumat. Hal ini bertujuan mendekatkan diri golongan remaja kepada masjid dan juga untuk membuatkan kawasan Masjid Al-Ubudiah ini kelihatan bersih. Pada sekitar tahun 80-an masjid ini dibina semula kerana struktur masjid tersebut yang telah lama dan tidak dapat menampung ramai jemaah dalam satu-satu masa terutamanya jemaah pada solat sunat hari raya aidilfitri dan juga solat sunat hari raya aidil adha. Hal ini kerana ramai penduduk kampung Padang Lumat yang menetap di luar kampung balik beraya di kampung. Di masjid Al-Ubudiah terdapat seorang imam muda yang sering menjadi ketua dalam solat dan juga dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid tersebut. Nama imam muda tersebut ialah Ustaz Khairul.
      









    Pada cuti pertengahan semester lalu,saya sempat menemuramah Ustaz Khairul bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah Islamic And Asian Civilization atau CTU 551 iaitu Ustaz Abd Aziz dalam tajuk TOKOH. Nama penuh Ustaz Khairul ialah Khairul Nizar Bin Zakaria. Ustaz Khairul lebih disenangi dengan panggilan ‘Bang Chik’. Semua anak khariah Kampung Padang Lumat memanggil beliau dengan panggilan nama Bang Chik. Beliau dilahirkan pada 1 November 1983 di Hospital Sungai Petani,Kedah.Beliau merupakan anak kepada Encik Zakaria Bin Othman dan juga Puan Maseri Binti Ishak. Ustaz Khairul merupakan anak ke-4 daripada lima beradik.Beliau mempunyai seorang kakak,dua orang abang dan juga seorang adik. Ustaz Khairul atau Bang chik mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Lumat daripada tahun 1 hingga tahun 6. Walaupun beliau tidak dihantar ke sekolah agama pada zaman kanak-kanak,bapa beliau iaitu Encik Zakaria tidak mahu anaknya terlepas belajar dalam hal-hal keagamaan dengan menghantar Ustaz Khairul belajar ilmu agama daripada seorang tok guru yang pandai dalam ilmu agama iaitu ‘Long Aishah’ gelaran yang dipanggil oleh penduduk Kampung Padang Lumat. Ustaz Khairul belajar ilmu agama pada sebelah malam. Hal ini kerana,pada sebelah siang beliau pergi belajar di sekolah kebangsaan. Setelah tamat tahun 6,beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semasa zaman remaja beliau,beliau masih lagi belajar ilmu agama dengan Long Aishah bagi memperoleh banyak lagi ilmu yang berkaitan dengan ilmu agama. Selepas tamat tingkatan 5,beliau berpeluang menyambung pelajaran ke Politeknik Muadzam Shah yang terletak di Jitra,Kedah Darul Aman. Di Politeknik Muadzam Shah,Ustaz Khairul mengambil jurusan Diploma Elektrik.
     Selepas beliau tamat pengajian di politeknik,Ustaz Khairul terus mendapat pekerjaan di Petronas Fertilizer Kedah.Beliau bertugas sebagai juruteknik di tempat tersebut. Ustaz Khairul bekerja di Petronas Fertilizer Kedah secara kontrak selama 2 tahun. Selepas tamat tempoh kontrak di Petronas Fertilizer,Ustaz Khairul bekerja sebagai pesawah di Kampung Padang Lumat tempat kelahirannya sendiri. Beliau mengusahakan tanah sawah milik bapa beliau iaitu Encik Zakaria Bin Othman. Hal ini kerana,bapa beliau tidak mampu lagi untuk mengusahakan tanah sawah tersebut kerana Encik Zakaria menghidap penyakit strok. Oleh sebab demikian beliau terpaksa mengusahakan tanah sawah milik bapa beliau dan menjaga bapa beliau yang menghidap penyakit strok. Alhamdulillah,pada masa sekarang bapa beliau beransur pulih. Pada tahun 2008,Ustaz Khairul telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis pilihan beliau iaitu Norshelawati binti Mustafa. Isteri Ustaz Khairul berumur 27 tahun,sama umur dengan Ustaz Khairul. Beliau bekerja di pusat penjagaan kanak-kanak yang terletak berdekatan dengan rumah mereka iaitu di Kampung Padang Lumat. Isteri Ustaz Khairul berasal dari kampung yang berdekatan dengan Kampung Padang Lumat iaitu Kampung Bukit Besar. Ustaz Khairul dan juga isteri beliau iaitu Puan Norshelawati masih belum dikurniakan cahaya mata.
     Penglibatan Ustaz Khairul di Masjid Al-Ubudiah bermula apabila beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa Masjid Al-Ubudiah. Perlantikan beliau sebagai ahli jawatankuasa masjid adalah berdasarkan lantikan anak khariah. Lantikan anak khariah bermaksud jawatan tersebut dipilih oleh ahli jawatankuasa masjid yang sebelumnya,di mana mereka memilih seseorang untuk memegang jawatan tersebut berdasarkan kemampuan seseorang. Sikap tanggungjawab dan juga ilmu tentang agama yang ada pada diri Ustaz Khairul membolehkan beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid pada tahun 2008. Selain daripada jawatan ahli jawatankuasa masjid,beliau juga merupakan biro dakwah dan kebajikan Masjid Al-Ubudiah. Tugas Ustaz Khairul sebagai biro dakwah dan kebajikan ialah beliau mencari anak khariah Kampung Padang Lumat yang hidup serba kekurangan untuk diberi zakat,terutamanya zakat fitrah kepada golongan ini pada bulan Ramadhan. Golongan warga emas selalunya yang hidup serba kekurangan di Kampung Padang Lumat akan dibantu dan akan diberi sumbangan oleh pihak masjid dalam bentuk zakat. Secara tidak langsung,hal ini akan meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang tidak berkemampuan seperti golongan fakir miskin ini. Selain itu,jawatan biro dakwah dan kebajikan yang dipegang oleh Ustaz Khairul juga menjalankan tugas-tugas seperti menguruskan majlis-majlis ilmu agama seperti ceramah agama,tadarus Al-Quran yang dijalankan pada bulan Ramadhan,qiamullail kepada golongan kanak-kanak dan remaja dan macam-macam lagi aktiviti-aktiviti keagamaan. Ustaz Khairul merupakan ahli jawatankuasa Masjid Al-Ubudiah yang paling muda sekali. Hal ini kerana,pihak perlu mencari ahli jawatankuasa masjid yang muda untuk menjadi pelapis bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan masjid tersebut. Ustaz Khairul memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa masjid selama 2 tahun. Pada 14 Januari 2010,Ustaz Khairul tidak lagi memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa masjid kerana pada Tnggal tersebut beliau telah dilantik untuk memegang jawatan sebagai pegawai masjid. Pegawai masjid adalah terdiri daripada imam masjid,tok bilal dan juga tok siah. Tanggungjawab Ustaz Khairul sebagai pegawai masjid adalah sebagai pembantu imam ke-2. Tugas Ustaz Khairul sebagai pembantu imam ke-2 adalah menggantikan imam Masjid Al-Ubudiah yang pertama iaitu Ustaz Haji Ahmad dalam mengimamkan solat-solat fardhu di masjid tersebut. Hal ini kerana,adakalanya Ustaz Haji Ahmad iaitu imam pertama masjid Al-Ubudiah tidak dapat hadir ke masjid untuk mengimamkan solat kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan atau mungkin kerana beliau tidak sihat maka Ustaz Khairul akan menggantikan beliau untuk mengimamkan solat fardhu di masjid tersebut. Bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh Ustaz Khairul semasa mengimamkan solat amat sedap untuk didengari kerana beliau mempunyai kelunakan suara yang amat sedap. Boleh dikatakan semua orang yang mendengar Ustaz Khairul membaca ayat-ayat Al-Quran akan terpegun apabila mendengarnya.
     





    Setelah Ustaz Khairul menjadi pembantu imam di masjid Al-Ubudiah pada 2011,beliau telah mengikuti kursus pengukuhan bacaan Al-Quran. Kursus ini diberi nama kursus Sijil Talaqi Al-Quran. Ustaz Khairul atau lebih dikenali dengan panggilan Bang Chik ini mengikuti kursus Sijil Talaqi Al-Quran ini di Pusat Dakwah Islam Kedah Darul Aman yang bertempat di Alor Setar,Kedah Darul Aman. Beliau mengikuti kursus pengukuhan bacaan Al-Quran ini selama 18 bulan. Pada masa sekarang juga Ustaz Khairul masih mengikuti kursus pengukuhan bacaan Al-Quran. Hal ini kerana beliau ingin mengukuhkan lagi bacaan ayat-ayat Al-Quran dalam mengimamkan solat-solat fardhu di Masjid Al-Ubudiah. Kita semua telah sedia maklum bahawa bacaan seorang imam dalam mengimamkan solat perlulah betul dan tepat bacaannya. Andaikata imam tersebut salah bacaannnya maka imam tersebut akan menanggung dosa atas kesilapan imam tersebut. Jadi,Ustaz Khairul mengikuti kursus pengukuhan bacaan Al-Quran tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh beliau dalam mengimamkan solat dan juga bagi mengelakkan kesalahan-kesalahan dalam membaca ayat-ayat Al-Quran. Tanggungjawab seorang imam dalam mengimamkan solat amatlah berat iaitu daripada segi bacaannya,perbuatannya dan lain-lain lagi. Kata Ustaz Khairul lagi,beliau perlu belajar lebih banyak lagi ilmu tentang hal-hal keagamaan kerana ilmu keagamaan yang beliau pelajari sehingga sekarang masih cetek. Ustaz Khairul juga banyak mengikuti ceramah-ceramah agama dan juga beliau juga ada mengikuti kursus-kursus yang berkaitan imam yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Kedah dan lain-lain lagi. Contohnya baru-baru ini Ustaz Khairul dan juga pegawai-pegawai masjid yang lain ada mengikuti kursus imam di Pahang. Kursus ini bertujuan memberi pengetahuan tentang bagaimana menjadi seorang imam dalam mengimamkan solat dan juga mengelakkan imam melakukan kesilapan dalam solat. Selain itu,Ustaz Khairul juga banyak belajar hal-hal keagamaan dan juga hal-hal yang berkaitan imam daripada imam-imam yang telah lama menjadi imam ataupun imam-imam yang telah lama bersara daripada menjadi imam di masjid untuk meningkatkan lagi pengetahuan beliau tentang cara-cara menjadi imam yang betul. Nyata bahawa sikap Ustaz Khairul terhadap ilmu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ‘Tuntutlah Ilmu dari Buaian hingga ke Liang Lahad’. Ustaz Khairul juga suka berkongsi ilmu yang beliau pelajari dengan rakan-rakan ataupun sesiapa saja yang bertanya kepada beliau. Hal ini kerana beliau seorang yang tidak kedekut ilmu.Apa saja ilmu yang beliau pelajari akan dikongsi bersama rakan-rakan demi kepentingan bersama.
     





    Selain itu juga,Ustaz Khairul juga menjalankan tugas sebagai pemandu van jenazah di masjid Al-Ubudiah. Di Masjid Al-Ubudiah Kampung Padang Lumat ini terdapat perkhidmatan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan dan keranda juga ada di jual di masjid Al-Ubudiah ni.Di Masjid Al-Ubudiah ni terdapat sebuah van jenazah yang di sumbangkan oleh kerajaan negeri Kedah kepada Masjid Kampung Padang Lumat bertujuan untuk memudahkan proses penghantaran jenazah ke tanah perkuburan. Jika ada kematian yang melibatkan anak khariah Kampung Padang Lumat atau kematian daripada khariah-khariah yang lain,Ustaz Khairul dan juga seorang pembantu beliau akan pergi ke rumah di mana terdapat kematian untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan sekiranya diminta oleh ahli keluarga si mati. Di samping itu juga,Ustaz Khairul akan membersihkan sekitar dan juga di dalam kawasan masjid pada setiap hari jumaat. Ustaz Khairul juga akan membuat persiapan untuk solat jumaat seperti menghamparkan sejadah,menguruskan pembesar suara dan juga mikrofon untuk digunakan ketika membaca khutubah pada hari jumaat. Sikap rajin yang ada pada diri Ustaz Khairul membuatkan semua anak khariah di Kampung Padang Lumat amat suka pada beliau.
      Pada akhir-akhir temuramah bersama Ustaz Khairul,beliau ada menyatakan harapan beliau terhadap diri beliau,terhadap masjid dan juga terhadap golongan remaja di Kampung Padang Lumat. Harapan beliau terhadap diri beliau ialah beliau berharap agar beliau menjadi seorang anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya dan juga menjadi seorang umat islam yang sentiasa beriman kepada ALLAH SWT. Selain itu,harapan beliau terhadap diri beliau ialah Ustaz Khairul ingin menjadi seorang imam yang berdedikasi, berilmu dan juga seorang imam yang dapat menjadi teladan yang baik kepada golongan muda dan juga setiap golongan masyarakat. Harapan beliau terhadap masjid ialah beliau ingin memakmurkan masjid dengan mengajak dan berharap agar ramai penduduk Kampung Padang Lumat datang ke masjid untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah pada setiap waktu. Hal ini kerana,lebih ramai jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat,maka masjid atau ‘rumah Allah’ tersebut akan menjadi lebih ceria dan juga melalui masjid juga kita dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat islam.Justeru,hal ini dapat meningkatkan lagi ukhwah persaudaraan di Kampung Padang Lumat.  Di samping itu,harapan beliau terhadap golongan muda di Kampung Padang Lumat terutamanya ataupun di merata tempat dapat melakukan aktiviti yang berfaedah dan juga tidak melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti melepak,mengganggu orang,merempit dan lain-lain lagi. Hal ini kerana,banyak aktiviti yang tidak bermoral ini berlaku pada masa sekarang terutamanya di Kampung Padang Lumat dan beliau juga menyeru supaya golongan remaja dapat mendekatkan diri dengan masjid.
     Secara kesimpulannya,menjadi seorang imam seperti Ustaz Khairul pada mulanya bukan mudah. Hal ini kerana,seorang imam memerlukan ilmu tentang hal keagamaan yang tinggi kerana beliau perlu memimpin jemaah dalam mengimamkan solat serta banyak orang akan merujuk imam untuk mengetahui tentang hal-hal keagamaan.Selain itu,tugas-tugas yang disandang oleh Ustaz Khairul memerlukan beliau banyak mengorbankan masa beliau bersama keluarga demi menjalankan tugas beliau kepada masjid dan juga kepada penduduk kampung.
   
RUJUKAN
Ustaz Khairul Nizar Bin Zakaria
Imam 2 Masjid Al-Ubudiah Kampung Padang Lumat,Yan,Kedah.